HULU LANGAT: “Keselesaan kami bagai diragut kerana setiap hari lalat yang datang dari tapak pelupusan sampah berdekatan semakin banyak menyebabkan penduduk seperti diganggu,” kata peniaga, Khairunizam Mohd Noh, 39, yang ditemui di Taman Pinggiran Delima, Batu 14, di sini, semalam.
Dia yang juga penduduk di kawasan berkenaan berkata sejak tiga bulan lalu, kawasan perumahan mereka dipenuhi lalat yang dipercayai berpunca dari kawasan tapak pelupusan sampah milik persendirian.
Menurut Khairunizam, dia difahamkan, pada asalnya tapak pelupusan itu hanya untuk dijadikan tapak bahan buangan sampah kering seperti batu atau kayu.
“Namun lain pula yang jadi sejak tiga bulan lalu, setiap hari lebih 10 lori sampah membuang sisa buangan bukan saja batu dan kayu, tetapi sampah yang busuk menyebabkan kawasan dipenuhi lalat. “Ia menjadi masalah besar kepada penduduk di kawasan ini sehingga sukar untuk menjamu selera apabila lalat berterbangan pada makanan yang dihidang.
“Lebih membimbangkan, sudah pasti lalat yang hinggap di makan itu menyebabkan makanan itu tercemar dan boleh membahayakan kesihatan penduduk,” katanya.
Katanya, sebelum ini, beberapa aduan sudah diajukan kepada pihak berkuasa tempatan, namun sehingga hari ini rungutan penduduk seolah-olah tidak dipedulikan.
Pembantu kedai, Nasrion Nazaruddin, 37, mendakwa kawasan itu tidak sesuai dijadikan tempat pembuangan sampah kerana berhampiran dengan perumahan penduduk dan gerai makan.
“Kami penduduk sudah tidak tahan lagi, malah ia semakin membimbangkan kerana lalat semakin banyak memenuhi kawasan kampung berhampiran walaupun jaraknya hampir tiga kilometer dari sini.
“Gerai makan di kawasan ini juga semakin lengang kerana orang ramai tidak sanggup menikmati makanan dengan bau yang kurang enak dari tempat pelupusan sampah selain kewujudan ratusan lalat,” katanya.
Nasrion berkata, setiap hari dia terpaksa memasang perangkap gam lalat di kedai tempat dia bekerja bagi memberi keselesaan kepada pengunjung, tetapi cara itu tidak mencukupi berdasarkan jumlah lalat yang terlalu banyak.
Menurutnya, keadaan semakin teruk jika hari hujan kerana kawasan pembuangan akan mengeluarkan bau busuk selain lalat yang semakin banyak waktu itu
No comments:
Post a Comment